Tuesday, March 30, 2010

MPSPK buka kaunter dengar aduan rakyat

SUNGAI PETANI - Ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Simon Ooi Tze Min membuka Pusat Khidmat Bergerak di pasar pagi Taman Bersatu dalam usaha menunaikan tanggungjawabnya sebagai Ahli Majlis MPSPK yang baru sahaja dilantik bagi sesi 2010/2011.

Simon berkata, dia membuka Pusat Khidmat Bergerak di pasar pagi Taman Bersatu untuk dikunjungi masyarakat yang ingin membuat aduan mengenai kawasan masing-masing kepadanya.

Menurutnya, dengan adanya pusat khidmat bergerak, rakyat lebih mudah membuat aduan atau masalah kepadanya dan secara tidak langsung dapat mendekati rakyat.

“Pusat Khidmat Bergerak ini dibuka pada minggu pertama setiap bulan dari jam 8 hingga 10 pagi dan setakat ini saya mendapat maklum balas yang positif serta sambutan yang menggalakkan.

“Selain itu, saya dapat memperkenalkan diri sebagai Ahli Majlis MPSPK yang baru dan bertanggungjawab di Zon C. Saya akan berada di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam Kiri pada setiap Selasa jam 8 malam hingga 10 pagi untuk menerima aduan rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Simon berkata, dia turut menganjurkan aktiviti gotong-royong melibatkan Kampung Pengkalan Lebai Man yang berhadapan dengan masalah kebersihan dan banjir kilat.

Menurutnya, usaha menganjurkan gotong-royong itu adalah untuk berganding bahu bersama pihak terlibat iaitu E-Idaman dan Pas Cawangan Kampung Pengkalan Lebai Man dalam usaha membersihkan kawasan kampung untuk mengurangkan risiko banjir kilat dan penyakit merbahaya.

“Usaha mengadakan gotong-royong ini adalah untuk meningkatkan kesedaran penduduk kampung mengenai kepentingan menjaga kebersihan kawasan kediaman agar bebas daripada penyakit merbahaya seperti denggi.

“Dengan kerjasama E-Idaman dan penduduk kampung, kami bersama-sama membersihkan semak dan menyelesaikan masalah parit tersumbat untuk meningkatkan kebersihan kampung,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/utr/content/story6951789.asp

0 comments: